Jan 22, 2006
Dunia Mawi

Tabung buluh hadiah peminat

MINGGU ini melakar kenangan yang cukup istimewa buat saya. Selain sibuk memenuhi undangan fotografi dan sesi latihan Konsert Seroja yang bermula semalam dan bakal berlangsung hari ini, saya terbabit dengan penggambaran komersial televisyen produk telefon bimbit jenama baru, M Mobile.

Berikutan pelantikan sebagai jurucakap produk berkenaan, saya terbabit dengan apa juga bentuk promosi, termasuk iklan. Sebagai permulaan, saya dikehendaki menjayakan penggambaran komersial televisyen, Isnin lalu.

Menariknya, penggambaran ini dilakukan di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang.

Pemandangannya memang menarik, malah suasananya mengingatkan saya pada kampung halaman.

Sepanjang perjalanan ke lokasi, saya tidur sepuas-puasnya. Saya mahu mengumpul tenaga memandangkan akan bekerja sehingga lewat malam. Lagipun beberapa hari sebelum ini saya tidak mendapat rehat yang cukup. Jadi bila ada peluang, saya manfaatkan sebaik-baiknya.

Kami berkampung di Felda itu dari jam 6 pagi hingga 11 malam. Penduduk kawasan berkenaan tidak putus-putus datang memberi sokongan. Lebih mengejutkan, ada antara mereka sudah ada di lokasi penggambaran seawal jam 6 pagi.

Jumlah 'penonton' semakin meningkat selepas jam 2 petang. Sekali pandang persis majlis kenduri kahwin.

Terlalu ramai hinggakan krew bertugas terpaksa meletakkan penghadang bagi memastikan penggambaran berjalan lancar.

Lebih mencuit hati, kanak-kanak sanggup menunggu hingga malam. Dalam sibuk menuruti arahan pengarah projek, saya sempat menyaksikan gelagat anak kecil ini. Bayangkan, ada antara mereka terlalu asyik hingga tidak pedulikan orang lain.

Tidak kurang juga yang tersipu-sipu malu apabila saya tersenyum ke arah mereka. Apa lagi bila diusik, semuanya ketawa, malah ada yang melarikan pandangan ke arah lain. Malu-malu kucinglah katakan...

Pun begitu ada juga yang peramah, pantang ada masa rehat pasti cuba menghampiri saya lalu bertanya itu ini. Hilang segala penat apabila melihat wajah mereka yang ceria.

Biarpun sibuk, saya tetap meluangkan sedikit masa bertemu penduduk yang sudi menjengok saya. Sempatlah bertanya khabar dan bertanya serba sedikit mengenai kawasan sekitar.

Serbu

Ramai peminat menyerbu saya, tetapi kekecohan itu dapat diredakan dengan bantuan kakitangan Maestro dan krew penggambaran.

Bagaimanapun, insiden itu tidak sedikitpun mengganggu tumpuan saya, mungkin kerana sudah biasa berdepan keadaan sebegini.

Inilah satu bayaran yang perlu saya lunaskan hasil populariti yang diraih. Saya menganggapnya sebagai satu penghargaan dan sangat berbesar hati dengan perhatian diberikan orang ramai.

Saya terharu dengan penerimaan penduduk setempat. Ramai menghantar pelbagai juadah lazat. Nasi, lauk pauk dan kuih-muih, semuanya sedap belaka.

Tidak ketinggalan mereka menghadiahkan saya barangan kraftangan Felda berkenaan, antaranya tabung buluh dan alat muzik tradisional termasuklah gendang.

Sikap mereka yang peramah dan pemurah akan terus saya kenang hingga ke akhir hayat, insya-Allah. Bersama mereka sedikit sebanyak mengubat rindu saya terhadap keluarga dan penduduk Felda Taib Andak. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada mereka. Insya-Allah kalau panjang umur, kita bertemu lagi.

Penggambaran itu bukan saja dilakukan di kawasan perkampungan, sebaliknya turut dilakukan di KL Sentral dan Bangsar, Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, ada penggambaran dalam LRT. Bayangkan sudah lama saya tidak gunakan perkhidmatan LRT. Bagaimanapun, situasi kali ini jauh berbeza kerana saya bekerja.

Sepanjang penggambaran perasaan saya bercampur baur. Seronok, pelik dan pening menjadi satu. Sama seperti keadaan di Felda Lurah Bilut, suasana tenang menjadi kecoh sebaik saya melangkah masuk ke dalam LRT. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal.

Rabu lalu, saya menjalani penggambaran untuk produk kosmetik lelaki, Silky.

Penggambaran kali ini boleh dianggap paling mencabar kerana saya tampil sebagai model barangan kosmetik.

Segalanya harus sempurna memandangkan ia berkait rapat dengan gaya dan imej.

Pada mulanya saya kekok maklumlah penggambaran kali ini sungguh rumit. Syukur alhamdulillah, lama kelamaan saya boleh menyesuaikan keadaan, sekali gus memenuhi kualiti yang ditetapkan pihak produksi iklan berkenaan.

Meskipun penggambaran di Kepong ini mengambil masa selama tujuh jam, ia memberi kepuasan maksimum kepada saya. Banyak perkara baru saya belajar sepanjang penggambaran ini dan ia boleh dijadikan panduan.

Semalam, saya berpeluang bertemu Datin Sri Rosmah Mansor menerusi Konsert Seroja di Pusat Belia Majlis Perbandaran Shah Alam, Seksyen 7, Shah Alam.

Dalam konsert amal ini, saya diberi penghormatan mendendangkan lagu Jangan Pisahkan dan Doa Buat Kekasih secara duet dengan Datin Sri. Satu peluang keemasan yang tidak pernah terlintas di fikiran. Saya mengagumi keperibadian Datin Seri yang mudah mesra, peramah dan 'sporting'.

Sebelum berundur, saya ingin mengalu-alukan kehadiran peminat ke Pusat Belia Majlis Perbandaran Shah Alam, Seksyen 7 malam ini.

Datanglah beramai-ramai, marilah kita berhibur sambil beramal. Sesungguhnya sumbangan anda dapat meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan.

Sokongan anda saya dahului dengan ucapan terima kasih.


Posted at 08:16 pm by anakmuar
Make a comment  







   





<< January 2012 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31






Contact Me

If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed